Laskar Pelangi merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada novel. Aku pernah membuat analisis tentang video bahagian 3 dan 4 berkenaan falsafah- falsafah yang ada pada video ini, nilai pengajaran yang diperoleh dan penggunaan bahasa yang digunakan dalam filem. Aku ingin memuat naik videonya tetapi ada sedikit kekangan. Oleh itu, videonya boleh sahaja dilihat di Youtube. Disini disertakan butiran yang telah aku lakukan semester lepas dalam kelas Karya Agung. Aku begitu teruja dan amat menyukai filem ini keseluruhannya!!!
1.0 PENDAHULUAN
Laskar Pelangi merupakan karya
Andrea Hirata yang dikatakan dapat memenuhi harapan bagi penggemar sastera
Indonesia, kerana selama ini penggemar sastera Indonesia telah lama menantikan
munculnya karya sastera Indonesia yang besar
dan bermutu yang dapat dinikmati bersama. Novel ini kemudiannya
diadaptasikan ke dalam filem yang diberi nama yang sama iaiatu”Laskar Pelangi”.
Filem ini mampu
membuatkan masyarakat berfikir mengenai kepentingan aspek pendidikan dalam diri
setiap anak- anak. Filem ini dimulai dengan proses penyuntingan, Pendiri Miles
Film, Mira Lesmana, sutradara Laskar Pelangi Riri Riza, penulis skenario Salman
Aristo, Andrea Hirata dan sejumlah barisan pelakon yang terpilih. Pelakon
tersebut seperti Cut Mini, Ikranegara, Ario Bayu, Slamet Roharjo, Alex Komang,
Mathias Muchus dan Teuku Rifnu Wikana. Selain itu, turut terlibat adalah 10
orang anak- anak yang benar-benar asli kelahiran Bangka Belitong.
Laskar Pelangi lebih
kepada nilai- nilai kehidupan masyarakat dan pendidikan anak- anak. Kisah sekolah
rekaan Andrea ini lebih kepada praktik pendidikan formal di Indonesia yang kini
menuju kepada “kematiannya”. Pada dasarnya pendidikan formal bertujuan membawa
manusia keluar dari kongkongan kebodohan (emansipatoris). Dengan menguasai ilmu
pengetahuan secara sistematik, rasional dan bersifat ilmiah, manusia dituntut
untuk meninggalkan segala sumber pengetahuan manusia di masa lalu seperti mitos
dan tradisi yang tidak rasional dan tahyul. Kejayaan Laskar Pelangi yang
mengangkat kehidupan kaum pinggiran yang miskin dan dilupakan di Pulau
Belitong, sekarang dikenali Provinsi Bangka Belitung).
2.0 FALSAFAH DI SEBALIK KARYA INI
Salah satu falsafah yang dapat
dikenalpasti dalam filem Laskar Pelangi ialah kemiskinan bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Hal ini
ditunjukkan melalui watak 10 orang anak- anak kelahiran Belitong yang serba
kekurangan. Mereka dalam kalangan yang miskin tetapi semangat untuk bersekolah
itu tinggi. Mereka ke sekolah dengan tidak berpakaian lengkap seragam sekolah,
tidak berkasut, ketiadaan kemudahan bilik darjah serta kekurangan tenaga
pengajar yang berkemahiran. Anak- anak miskin ini juga mempunyai hak untuk
mendapatkan pendidikan walaupun taraf hidup mereka rendah.
Falsafah yang ketara dapat
dikenalpasti dalam video siri ketiga yang diketengahkan oleh watak Pak Harfan yang
berbunyi “ ukuran sesuatu kecerdasan itu
bukan pada angka dan nilai tetapi dari hati”. Pada pendapat saya, ayat ini
membawa maksud yang mendalam bahawa seseorang yang cerdik pandai, kecerdasannya
tidak hanya diukur dari segi ilmu pengetahuannya tentang ilmu matematik, ilmu
alam dan sebagainya tetapi turut mengetengahkan nilai-nilai murni iaitu yang
berpusatkan dalam hati. Jika seseorang itu memiliki hati yang bersih maka
segala imu pengetahuannya amat berbaloi dan dapat diaplikasikan kepada orang
lain. Manakala jika seseorang itu menggunakan kecerdikannya hanya untuk
mendapat kemewahan dunia, nescaya akhirnya beliau tidak akan dihormati dan akan
dilupakan orang. Kecerdasan yang bukan berpusat dari hati juga akan membuatkan
seseorang manusia itu menjadi tamak hinggakan tidak mempedulikan orang lain dan
hanya menitikberatkan keduniaan semata- mata.
Seterusnya falsafah
keagamaan yang diperkatakan oleh Pak Harfan iaitu yang berbunyi “sekolah ini adalah sekolah yang mengajarkan
pendidikan agama, pendidikan budi pekerti bukan sahaja menitik beratkan aspek
kurikulum”. Hal ini membawa maksud bahawa institusi pendidikan bukan hanya
menitikberatkan aspek kurikulum iaitu mata pelajaran tertentu malah
menitikberatkan soal keagamaan dan nilai murni dalam pendidikan. Oleh itu dapat
ditegaskan disini bahawa sesebuah institusi pendikan seharusnya menitikberatkan
soal keagamaan dan nilai murni supaya murid- murid dapat seimbangkan aspek
kurikulum dan keagamaan supaya tidak tersasar daripada landasan. Hakikatnya
kita mengetahui bahawa anak-anak kini tidak diterapkan dengan nilai- nilai
murni dan ilmu keagamaan dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini kerana ibu
bapa mereka turut sibuk dengan aktiviti keduniaan dan berpendapat bahawa
kemewahan dunia dapat membahagiakan anak- anak mereka tanpa menghiraukan aspek
keagamaan anak- anak sehingga anak- anak menjadi insan yang liar dan tidak
menghormati orang lain. Oleh itu menjadi tugas institusi pendidikan untuk
menerapkan sedikit sebanyak ilmu keagamaan dan nilai moral supaya hidup anak-
anak ini lebih terjamin dan berada di landasan yang betul selaras dengan ilmu
kurikulum yang diajarkan di bilik darjah.
Dalam video siri keempat
pula ada falsafah yang berbunyi “hiduplah
untuk memberi sebanyak- banyaknya, bukan menerima sebanyak- banyaknya”. Disini
boleh disimpulkan bahawa seseorang manusia itu seharusnya berpegang pada
pepatah “memberi itu lebih baik daripada
menerima” iaitu individu yang memberi akan dianggap mulia dan sebaik-
baiknya tidak menerima sesuatu pemberian orang dengan sewenang- wenangnya tanpa
memikirkan baik buruk sesuatu hal itu. Selain itu, falsafah ini turut
menjelaskan kepada kita bahawa kita seharusnya hidup dengan sebaik- baiknya
hingga dapat membantu orang lain bukannya hidup untuk hanya bergantung harap
kepada orang lain ataupun tidak keterlaluan jika saya katakan disini adalah
hidup untuk menerima ehsan dan belas kasihan daripada orang lain.
3.0 NILAI- NILAI YANG TERDAPAT
DALAM KLIP VIDEO
3.1 Pengabdian kepada sekolah SD Muhammadiyah
Ditunjukkan melalui
watak Pak harfan yang telah puluhan tahun mengabdikan diri di
sekolah Muhammadiyah tanpa mengharapkan apa- apa balasan. Motif beliau berada
di sekolah tersebut adalah kerana untuk menegakkan syiar islam. Beliau begitu
tekun dan ikhlas untuk mengajarkan 10 anak- anak miskin tentang perlunya
pegangan agama dalam hidup dan sering mengajarkan mereka mengenai nilai- nilai
murni dalam kehidupan di samping menceritakan kisah- kisah yang berlaku pada
masa dahulu iaitu di zaman para khalifah yang disegani dunia.
Bu Mus pula mengabdikan
dirinya di SD Muhammadiyah selama enam tahun dan mengikut pengalamannya, beliau
telah mengajar pelbagai mata pelajaran kerana sekolah tersebut kekurangan
tenaga pengajar. Beliau malah ingin meneruskan cia- cita ayahnya yang inginkan
sekolah SD Muhammadiyah terus mendapat tempat di hati kanak- kanak miskin yang
ingin belajar. Sekolah tersebut juga merupakan satu- satunya sekolah yang
mengajarkan ilmu agama kepada pelajarnya.
3.2 Kegigihan seorang pelajar
Ini ditunjukkan melalui
watak Lintang iaitu seorang anak kecil yang luar biasa. Kita tidak dapat membayangkan
bagaimana seorang budak kecil sepertinya sanggup menempuh jarak berkilo- kilo dari
rumahnya hanya untuk ke sekolah, sama seperti orang tua- tua pada zaman dahulu.
Lintang pergi ke sekolah hanya dengan menaiki sebuah basikal yang pada
perkiraan saya basikal itu terlalu lama usianya. Dia juga merupakan murid
pertama yang mendaftar sebagai pelajar di SD Muhammadiyah. Setiap pagi Lintang
sanggup bergerak awal iaitu dinihari untuk pergi ke sekolah supaya tidak sampai
lewat. Dia tidak pernah mengeluh demi mendapatkan pendidikan di sekolah.
Lintang juga seorang yang sangat teliti hingga dapat menghuraikan tentang
buaya. Dia memiliki semangat yang tinggi
untuk sampai ke sekolah meskipun dihadang oleh buaya. Banyak tinjauan yang
Lintang lakukan terhadap buaya, malah dia mengetahui pergerakan buaya yang cepat
dan buaya mempunyai rahang yang kuat dan semuanya dapat dibacanya di dalam
surat khabar.
3.3 Bekerjasama dalam mendidik pelajar
Nilai ini dapat
dikenalpasti melalui watak Pak Harfan, Bu Mus dan Bakri. Mereka mengajar di
sekolah Muhammadiyah mengikut kepakaran masing- masing. Contohnya Pak Harfan
dengan pengajaran agamanya. Beliau malah menceritakan kisah- kisah perjuangan
nabi kepada pelajar- pelajar dan serba sedikit mengenai pegangan agama islam.
Pada permulaan klip video ini, Pak Harfan mempertahankan sekolah Muhammadiyah
bahawa sekolah ini adalah “sekolah yang mengajarkan pendidikan agama,
pendidikan budi pekerti bukan sahaja menitik beratkan aspek kurikulum” dan
“kecerdasan sejati bukan sahaja dilihat dari segi angka- angka (nilai ujian)
tetapi dari hati”.
Bu Mus pula mengajar pelajarnya pelajaran matematik.
Beliau sanggup mengajar pelajarnya walaupun sekolah tersebut tidak mempunyai
kemudahan utuk mengajar. Pada satu sesi pengajaran, Bu Mus mengajar menghitung
menggunakan lidi manakala sekolah lain yang mempunyai teknologi canggih
menggunakan kalkulator. Disinilah terjadinya perbezaan yang begitu ketara
diantara sekolah- sekolah tersebut. Manakala cikgu Bakri pula mengajar ilmu
geografi yang lebih kepada ilmu alam sehinggalah beliau menerima tawaran
mengajar di sekolah lain yang lebih elok kemudahannya.
3.4 Nilai
tekad dalam melaksanakan sesuatu perkara
Bu Musa tau nama
sebenarnya N.A. Muslimah Hafsari Hamid binti K.A. Abdul Hamid hanya memiliki
segulung ijazah SKP (Sekolah Kepandaian Putri), namun Bu Mus bertekad utuk
melanjutkan cita- cita ayahnya iaitu K.A. Abdul Hamid iaitu salah seorang
pelopor sekolah Muhammadiyah di Belitong bersama- sama Pak Harfan. Bu Mus malah
sanggup menolak lamaran anak Haji Mahdun demi melestarikan cita- cita ayahnya.
Jikalau tidak, kemungkinan Bu Mus menjadi isteri kepada seorang saudagar kaya.
Bu Mus malah dengan penuh yakin mengatakan bahawa impiannya adalah untuk
menjadi seorang guru bukannya isteri kepada saudagar yang mengejar kekayaan
semata- mata. Bu Mus juga tidak sanggup untuk meninggalkan Pak Harfan dan
seorang lagi guru iaitu cikgu Bakri untuk menguruskan sekolah Muhammadiyah.
Betapa tekadnya Bu Mus membuatkan hidupnya dalam
kesusahan tetapi beliau tidak pernah merungut dengan kesusahan tersebut. Pada
suatu ketika dahulu, sekolah tersebut kekurangan guru, beliau dengan sukarela
mengajar semua mata pelajaran. Selama enam tahun di SD Muhammadiyah, beliau
telah mengajar pelbagai subjek seperti bahasa indah, bahasa Indonesia,
Kewarganegaraan, ilmu bumi(geografi). Praktik olahraga sehinggalah akhirnya
mengajar matematik.
3.5 Nilai
pengurusan diri yang baik
Bus Mus seorang yang
pandai, berkarisma dan memiliki pandangan yang jauh ke hadapan. Beliau menyusun
sendiri pelajaran yang ingin diajarkan kepada pelajar- pelajarnya. Beliau
mengajar mereka dasar moral, demokrasi, hukum, keadilan dan hak asasi. Beliau
malah sanggup bekerja lebih masa di sekolah SD Muhammadiyah dan setelah
seharian penat mengajar, beliau juga menerima tempahan jahitan hingga tengah-
tengah malam untuk mencari nafkah meneruskan hidup dan membantu adik- adiknya
yang lain.
3.6
Kepercayaan menumbuhkan
semangat seseorang
Apa yang membuatkan Bu
Mus memiliki semangat yang tinggi untuk mengajar di tengah situasi sekolah yang
hanya berdinding kayu, yang setiap kali turunnya hujan menyebabkan atapnya
bocor adalah dorongan daripada Pak Harfan. Ternyata semangat ini berasal dari
kepercayaan yang diberikan oleh Pak Harfan, kawan ayahnya yang secara langsung
percaya akan kewibawaan Bu Muslimah sebagai guru. Meskipun sudah 2 bulan tidak menerima
gaji, namun beliau masih tetap bertahan.
3.7 Kasih sayang guru terhadap muridnya
Bu Muslimah turut berasa
tidak senang hati akan layanan sekolah lain terhadap Harun iaitu seorang
pelajar yang terencat akalnya. Guru- guru tersebut memperlekehkan jawapan yang
diberikan Harun dalam satu ujian yang telah dijalankan. Disini terbukti kasih
sayangnya yang mendalam terhadap muridnya seperti sayangnya ibu terhadap
anaknya. Bu Muslimah turut menunjukkan nilai kasih sayang terhadap muridnya denag melembutkan suara semasa berbicara
dengan murid- muridnya. Beliau tidak sesekali menggunakan kekerasan dalam
mendidik murid- muridnya. Setiap pertolongan yang dia perlukan dari murid-
muridnya diberitahu dengan bahasa yang lembut dan teratur. Contohnya ketika
bertanya tentang giliran murid yang akan membeli kapur. Mereka sanggup membuat
giliran membeli kapur walaupun perkakasan tersebut hanya dapat dibeli di tempat
yang jauh. Mereka hanya ke sana dengan menaiki basikal secara berpasangan
supaya keselamatan terjamin.
4.0 PENGGUNAAN BAHASA
Bahasa sebagai alat berkomunikasi antara individu
dapat dikaitkan dengan karya sastra kerana di dalamnya terdapat media untuk
berinteraksi antara pengarang dengan pembaca. Pengarang dapat mengekspresikan
perasaan, gagasan, ideologi, dan wawasannya melalui karya sastra. Ekspresi
tersebut sebagai perwujudan sesuatu yang dilihat oleh pengarang baik indrawi mahupun
hakiki. Selanjutnya pengarang akan merespon aktif dan pasif serta menciptakan
hasil secara kreatif. Pembaca sebagai penikmat karya sastera dapat merasakan
maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui gaya bahasa yang khas dan
menarik.
Laskar Pelangi walaupun termasuk karya
pertama Andrea di bidang sastra, namun mampu menunjukkan keahlian pengarang
dalam menulis, berpengetahuan luas, dan intelektual yang tinggi. Andrea
menuliskan kalimat di dalam novel yang mempunyai erti dan makna mendalam serta
memberikan kesan bagi pembaca. Andrea menggunakan gaya bahasa perbandingan
diantaranya metafora, personifikasi, simile, dan hiperbola. Filem yang
diadaptasikan menerusi novel ini juga mempunyai pemakaian bahasa seperti dalam
novel seperti contoh-contoh ini: ayah Lintang
digambarkan sebagai ‘cemara angin mati yang disambar petir’atau A
Kiong yang wajahnya dideskripsikan bagaikan‘baru saja keluar dari bengkel
ketok magic’.
Sejujurnya bagi saya,
untuk memahami cerita ini memerlukan saya untuk menontonnya berulang kali
kerana penggunaan dialek bahasa Indonesianya terlalu pekat untuk saya sebagai
rakyat Malaysia fahami. Namun begitu, penggunaan dialeknya yang pekat tidak
menghalang saya untuk memahami dan mengenalpasti nilai- nilai murni yang ada
dalam karya ini. Setiap yang dituturkan oleh watak- watak dalam Laskar Pelangi
ini mempunyai mesej- mesej yang tertentu. Sebaik- baiknya dalamilah maksud
sesuatu karya itu terlebih dahulu. Bahasa yang digunakan juga memberi kesan
yang mendalam kerana penggunaan diksi yang menarik dan watak- watak pelakon
yang dipilih berjaya mendalami watak- watak tersebut dengan baik.
5.0 KESIMPULAN
Perkembangan karya kesusasteraan di
Indonesia kebelakangan ini cukup pesat baik filem mahupun novel. Selama ini pula, novel-novel yang bertemakan
percintaan seperti Ayat-ayat Cinta,
Ketika Cinta Bertasbih, Perempuan Berkalung Serban dan sebagainya mendapat
sambutan hangat di pasaran, namun kehadiran novel Laskar Pelangi di pasaran dengan temanya yang berlainan telah
berjaya menobatkan novel tersebut ke persada novel yang paling popular di
Indonesia. Novel Laskar Pelangi telah diulang cetak hingga lebih daripada 22
cetakan dan turut diadaptasi ke layar perak dengan judul yang sama pada tahun
2008. Maka pengadaptasian dari novel ke filem telah mendapat sambutan dari
masyarakat Indonesia mahupun masyarakat Malaysia sendiri.
Laskar
Pelangi ini juga merupakan inspirasi pengalaman pengarangnya sendiri dan
cerminan masyarakat pulau Belitong. Cerita yang bertemakan pendidikan tersebut
telah memberikan kesan dan pengajaran untuk pembacanya. Laskar Pelangi
merupakan karya kesusasteraan yang sangat mengharukan tentang dunia pendidikan
dengan tokoh-tokoh manusia sederhana, jujur, tulus, gigih, penuh dedikasi,
sabar, tawakal, dan mengajar dengan cinta yang diperlihatkan kepada pembaca
secara indah dan cerdas
Oleh itu, kita mengharapkan industi
perfileman kita dapat mencetuskan idea- idea yang bernas seperti ini yang kaya
dengan moral kemanusiaan yang tinggi. Kita seharusnya tidak hanya
mengetengahkan tentang masalah sosial masyarakat kini tetapi nilai- nilai murni
dapat dilahirkan di dalam karya penulisan kreatif mahupun penerbitan filem. Sepanjang
saya menonton filem Laskar Pelangi ini, saya dapat mengenal apa itu pengorbanan
seorang terhadap anak didiknya. Insyaallah saya juga bertindak sebagai bakal
guru akan menggunakan pelbagai cara untuk mendidik anak bangsa supaya tidak
mundur.