Assalamualaikum........................................
Daripada tajuk, apa yang dapat kita gambarkan. Aku sering tertanya- tanya akan tajuk yang dipaparkan. Adakah tajuk boleh membuatkan kita memahami keseluruhan cerita / mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang? Hurm.....Tu terpulang kepada pembaca la kan....hehheehhee. Di sini aku kongsikan sedikit pencarian aku tentang Bahasa Kiasan. Kalau tidak mencapai pemahaman pembaca, aku pasrah jer la... Sekadar renungan bersama...... :)
Dalam ilmu linguistik, tatabahasa merupakan kajian tentang pembentukan kata dan penyusunan dalam ayat. Manakala semantik pula berhubung rapat dengan pengkajian tentang makna. Semantik menurut istilah ialah merujuk tentang makna. Oleh kerana makna itu adalah sebahagian daripada bahasa, maka semantik tergolong sebahagian daripada ilmu linguistik, iaitu suatu hal yang amat penting memandangkan hal kajian bahasa tidak akan sempurna jka tidak ada unsur makna.
Semantik merupakan bidang kajian linguistik yang mana objek penelitiannya adalah makna bahasa. Makna juga merupakan atribut bukan sahaja dari bahasa melainkan pula dari segenap sistem tanda dan lambang dan kajian makna dinamakan semantik. Oleh itu, bahasa digunakan untuk pelbagai kegiatan dan keperluan dalam kehidupan bermasyarakat, maka makna bahasa pun menjadi pelbagai jika dilihat dari segi atau pandangan yang berbeza. Oleh itu, kajian makna yang ingin diutarakan adalah terhadap bahasa kiasan yang sememangnya sering digunakan oleh masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian.
Bahasa Kiasan ialah ungkapan yang maknanya tidak diketahui daripada makna perkataan itu sendiri atau daripada susunan tatabahasanya. Dengan kata yang lain, maknanya tidak sama dengan apa yang diungkapkan. Dalam bahasa kiasan, sesuatu perkataan, frasa atau ayat mempunyai maksud yang berlainan dengan makna harfiah kata-kata yang membinanya.
Bahasa kiasan juga dikenali sebagai bunga bahasa. Antara jenis bahasa kiasan yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah personifikasi, hiperbola, metafora, simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan dan bidalan (Abdullah Hassan dan Ainon, 2001: 1). Dari segi pencirian, semua bahasa kiasan ini memperlihatkan ciri yang berbeza- beza antara satu sama lain. Jika ditinjau dari segi maksudnya pula, bahasa kiasan ialah satu ungkapan yang maknanya tidak boleh diketahui daripada makna perkataan itu sendiri tetapi diperoleh berdasarkan makna tersirat yang melatarinya.
Dalam bahasa kiasan, kita membuat perbandingan akan sesuatu perkara dengan benda yang lain. Perbandingan ini dibuat melalui bandingan yang nyata dengan atau tanpa menggunakan kata bandingan tertentu. Kita hanya mengiaskan sesuatu yang dimaksudkan itu dengan benda atau perkara yang lain.
2.0 DEFINISI ISTILAH
Kajian Makna
Semantik ialah istilah yang merujuk kepada kajian makna. Oleh sebab itu semantik juga menjadi sebahagian daripada linguistik. Kajian makna kata dalam bahasa Melayu menurut sistem penggolongan semantik adalah cabang linguistik yang berperanan semata-mata untuk meneliti makna kata, bagaimana asal mulanya, bahkan bagaimana perkembangannya dan apakah sebab-sebab terjadinya perubahan makna dalam sejarah bahasa. Bidang semantik terbatas pada usaha memperhatikan dan mengkaji proses transposisi makna kata dalam pemakaian bahasa.
Setiap perkataan mempunyai banyak makna. Contohnya perkataan meja umpamanya merujuk kepada bermacam- macam rupa dan bentuk benda yang boleh dipanggil meja. Ada meja kecil, meja besar, meja kaki empat, meja kaki satu, meja bulat, meja kayu, meja kaca, dan bermacam- macam lagi. Dengan erti kata lain, perkataan meja tidak merujuk kepada satu benda yang dipanggil meja. Sebaliknya merujuk kepada suatu konsep iaitu “sesuatu perabot mempunyai permukaan yang rata, berkaki dan biasanya digunakan untuk meletakkan hidangan makanan, sebagai tempat menulis ataupun peralatan mesyuarat”. Sesuatu perkataan merujuk kepada ribuan malah jutaan benda- benda yang menepati konsep tersebut (Abdullah Hassan, 1997:263).
Bahasa Kiasan
Pendeta Za’ba mengatakan bahawa bahasa kiasan ialah bahasa yang mencakapkan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada perkara lain, sama ada dengan menyebut bandingan antaranya atau dengan tiada menyebutkan bandingan lagi, tujuannya supaya menambahkan terang sesuatu yang dikatakan atau diceritakan dan menguatkan makna. Inilah keistimewaan bahasa kiasan.
Menurut Abdullah Hassan 1997: 276, bahasa kiasan atau analogi ialah ungkapan- ungkapan yang maknanya tidak boleh diketahui daripada makna perkataan itu sendiri ataupun daripada susunan tatabahasanya. Penggunaan istilah dan konsep-konsep dalam bidang ini berbeza- beza dalam kalangan pengarang. Perbezaan itu diselaraskan untuk dijadikan pedoman mengajar. Bentuk bahasa kiasan dapat diklasifikasikan kepada dua golongan utama iaitu, kiasan jenis peribahasa dan bukan peribahasa. Setiap golongan mempunyai jenis masing- masing.
Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, bahasa kiasan tergolong kepada dua jenis iaitu peribahasa dan bukan peribahasa. Kiasan yang sudah mantap dari segi bentuk bahasanya dan maknanya diistilahkan sebagai peribahasa. Kiasan yang tidak mantap bentuk dan maknanya diistilahkan sebagai bukan peribahasa. Sebagai contoh, bentuk ‘kacang lupakan kulit’ tidak boleh diubah kepada bentuk yang lain, umpamanya ‘kulit dilupakan oleh kacang’ dan ‘lupanya kacang kepada kulit’. Oleh yang demikian, bahasa kiasan tersebut adalah peribahasa.
3.0 JENIS- JENIS BAHASA KIASAN
Jenis bahasa kiasan bahasa Melayu dapat digolongkan kepada dua golongan, iaitu kiasan jenis peribahasa dan kiasan jenis bukan peribahasa. Antara kedua-dua jenis bahasa kiasan ini, terdapat perbezaan yang nyata dari segi maksud. Bahasa kiasan jenis peribahasa mempunyai makna khas, iaitu tidak bergantung pada konteksnya (Abdullah Hassan:1997: 277). Misalnya makna kaki ayam, anak emas, dan langkah kanan tetap tidak berubah walau dalam konteks apa-apa sekalipun.
PERIBAHASA
Za’ba (1965: 166) membahagikan peribahasa kepada dua jenis iaitu peribahasa bersifat selapis dan bersifat dua lapis. Peribahasa selapis bererti apa sahaja ungkapan itulah maksudnya. Sifat terus terang tanpa maksud lain yang terselindung. Peribahasa selapis ini terdiri daripada bidalan, pepatah dan perbilangan, manakala peribahasa dua lapis pula bermaksud pengertian yang dimaksudkan berlainan daripada sesuatu yang dilihat daripada zahirnya. Maksud yang terkandung dalam peribahasa ini adalah berlainan sama ada sekali dengan maksud yang diumpamakan kepada sesuatu perkara yang mempunyai bandingan yang sama dengannya. Peribahasa dua lapis terdiri daripada perumpamaan dan simpulan bahasa (Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari, 2009 : 283).
Kiasan peribahasa makna selapis dapat terus difahami apabila kita membacanya. Contoh kiasan peribahasa makna selapis seperti biar lambat asal selamat; sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit; dan hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya bermakna selapis kerana tiada makna yang tersirat daripada unsur kata yang menjadi binaan bahasa kiasan tersebut. Sebaliknya, bahasa kiasan dua lapis pula menggunakan gambaran lain bagi membayangkan maknanya. Misalnya ular yang menyusur akar itu tidak akan hilang bisanya, seperti talam dua muka dan sebagainya. Ia mempunyai maksud yang khas. Ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya bermaksud orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya, seperti talam dua muka bermakna orang yang berbuat baik kepada dua orang berseteru.
Bidalan
Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran. Ciri yang membezakan bidalan dan pepatah ialah bidalan mengandungi perkataan-perkataan jangan, hendaklah, usah, biar dan ingat. Contoh bidalan seperti jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong, baik bawa resmi padi, jangan bawa resmi lalang - kita hendaklah merendah diri dengan kelebihan yang dimiliki, bukan menjadi sombong.
Pepatah
Pepatah merupakan sejenis peribahasa yang berangkap. Biasanya terdapat pengulangan kata di dalamnya untuk penegasan atau unsur- unsur pengajaran yang hendak disampaikan. Pepatah seakan-akan bidalan tetapi mempunyai rangkaian perkataan berkerat- kerat atau berpatah- patah. Contohnya bagaimana acuan, begitulah kuihnya yang bermaksud seseorang anak itu akan menurut sifat dan perangai ibu bapanya, biar putih tulang jangan putih mata yang bermaksud lebih baik mati daripada menanggung malu, buang yang keruh ambil yang jernih bermaksud tinggalkan perangai yang buruk dan ambillah yang baik.
Perbilangan
Perbilangan adalah perkataan yang disusun berbilang-bilang dan dituturkan bait demi bait. Lebih mudah lagi, ia merupakan susunan kata yang berkerat-kerat dan disebut satu persatu seperti orang membilang sesuatu. Isinya mirip kepada ketetapan undang- undang yang tidak dikuatkuasakan. Perbilangan ini mengandungi hal-hal sosial serta nilai- nilai murni kehidupan. Sebagai contoh “hutang darah dibalas darah, hutang nyawa, nyawa padahnya”.
Perumpamaan
Perumpamaan merupakan salah satu jenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan yang lain. Biasanya maksud perumpamaan berlainan daripada kelompok kata yang membentuknya. Pada umumnya, perumpamaan menggunakan kata- kata bandingan bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama.Contohnya seperti anjing dengan kucing yang membawa maksud dua orang yang sering bertengkar apabila bertemu, bagai tikus membaiki labu bermaksud merosakkan lagi barang yang dibaikinya, seperti pahat dengan penukul bermaksud orang yang hanya bekerja apabila diperintah dan sebagainya (http://www.slideshare.net/Rynna/peribahasa-8689046).
Simpulan Bahasa
Kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap. Mengandungi maksud yang berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya. Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas. Simpulan bahasa biasanya terdiri daripada dua perkataan dan mempunyai makna tersirat. Sebagai contoh akal panjang bermaksud seseorang yang berfikiran tinggi dan mempunyai banyak idea, bau-bau bacang iaitu pertalian keluarga yang jauh, muka tembok membawa maksud seseorang yang tidak tahu malu dan sebagainya.
Menurut Za'aba, terhasilnya simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:
(a) Daripada perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyhur.
Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin, Lebai Malang dan sebagainya.
(b) Daripada benda atau kejadian yang berlaku di sekelilingnya.
Contoh: mandi kerbau, mata duitan, kutu embun dan sebagainya.
(c) Daripada kepercayaan orang ramai
Contoh: harimau berantai, buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.
(d) Daripada kebiasaan atau resaman bahasa.
Contoh: ada hati, gila bahasa, beri muka dan sebagainya.
BUKAN PERIBAHASA
Menurut Md Saidin Ahmad Ishak dan Mohd Salleh Rahamad (1996: 146) mendefinisikan bahasa kiasan bukan peribahasa ialah bahasa figuratif. Bahasa figuratif digunakan untuk berkomunikasi secara analogi. Sesuatu perkara disamakan dengan perkara lain yang biasa dan perbandingan ini mengajak pembaca untuk menggambarkan persamaannya. Apabila bahasa itu semakin mudah, langsung dan terus terang bagi membawa maksud konvensional, maka bahasa itu disebut bahasa literal atau bahasa hurufiah (Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari, 2009: 286).
Personifikasi
Perkataan personifikasi berasal daripada bahasa Latin. Perkataan ini merupakan cantuman dua perkataan iaitu “persona” dan “fic”. Perkataan “persona” bermaksud orang atau pelaku atau aktor atau topeng yang dipakai dalam persembahan drama. Manakala “fic” ialah perkataan yang bererti membuat ( Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005: 368). Perkataan personifikasi itu kita kaitkan dengan segala sifat yang dimiliki oleh manusia bagi segala macam benda yang tidak bernyawa.
Maka, personifikasi ialah sejenis gaya bahasa perbandingan, iaitu penginsanan atau pemberian ciri- ciri peribadi orang atau sifat- sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh- tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa, atau idea yang abstrak.
Contohnya seperti :
i. cahaya di sebalik kabus yang sentiasa memberi harapan
ii. cuaca yang begitu dingin menggigit
iii. Senja merangkak tua…
Hiperbola
Hiperbola ialah perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani. Kata majmuk ini terbina melalui gabungan perkataan “hyper” yang bermaksud melebihi dan “ballien” bererti luahkan atau keluarkan. Hiperbola merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan iaitu sejenis gaya bahasa yang mengandungi kenyataan tentang sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara melampau waima dari segi jumlahnya, ukuran atau sifatnya. Tujuannya adalah untuk memberi penekanan maksud terhadap sesuatu perkara atau situasi demi memperhebat, meningkatkan kesan dan pengaruhnya (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005: 347-349).
Contoh :
a. dosa-dosaku sudah melaut banyaknya…
b. tetapi kasihnya menggunung bagai anak kandung.
Metafora
Metafora ialah gabungan daripada dua kata iaitu “meta” bermaksud memindahkan dan “pherein” bermakna membawa. Perkataan metafora berasal daripada bahasa Yunani. Perkataan ini biasanya mengandungi satu kata konkrit dan satu kata abstrak, iaitu perbandingan tidak terus (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005: 360-361).
Contohnya seperti :
a. peti kenangan
b. Lipatan ingatan
Simile
Simile juga membuat perbandingan. Simile menggunakan perkataan seperti, bagai dan bak. Contohnya “mulutnya becok seperti murai dicabut ekor”. Simile mengandungi dua bahagian iaitu subjek utama dan bahan bandingan. Subjek utama simile di atas ialah mulut dan bandingannya ialah “murai dicabut ekor”. Pada kebiasaannya bahan bandingan mengandungi imej iaitu kata atau ungkapan yang membentuk sesuatu perkara yang boleh dianggap oleh deria. Contoh lain seperti:
a. … bersambung seperti gajah menyusu dengan rumah agam
b. … tetapi kasihnya menggunung bagai anak kandung